Untuk membina sikap positif dalam diri, anda boleh amalkan 10 PETUA
yang disenaraikan dibawah. Amalkannya setiap masa dan dimana sahaja
sehingga ia menjadi tabiat baru anda. Setiap minggu dari sekarang
saya akan bincangkan salah satu dari 10 Petua ini. Tetap bersama saya.
Petua 1: Jangkakan kejayaan.
Petua 2: Lakunkan watak orang cemerlang.
Petua 3: Ubah penampilan diri.
Petua 4: Berkawan dengan orang berjaya.
Petua 5: Dalami ilmu kecemerlangan.
Petua 6: Fokus kepada apa yang anda mahu.
Petua 7: Kejayaan silam membarai diri.
Petua 8: Saranan diri positif.
Petua 9: Soal diri dengan soalan yang positif.
Petua 10: Pelaziman minda.
|
Petua 3: Ubah Penampilan Diri |
Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita
mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya,
pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita
lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap
positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling
mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang
rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan
pendek dan berseluar kasual. Sampainya sahaja anda di sana, anda
lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau
berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau
bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah
diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan
pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh
yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam
membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak
bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat.
Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah
mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu
tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah
'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang
telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif
mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda
melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk
bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda.
Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan
produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan
diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian.
Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan
positif.
Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan
diri:
-
Potongan rambut
- Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
-
Pilihan warna dan corak
- Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
-
Jenis pakaian
- Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
-
Kemas dan rapi
- Sentiasa digosok rapi.
-
Kasut
- Kasut yang sesuai denga tujuan kehadiran kita di
satu-satu tempat.
-
Aksesori
- Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita),
haruman dan lain-lain.
-
Jenama
- Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
-
Kesihatan diri
- Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
-
Gaya
- Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
-
Senyum
- Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.
Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda
dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi. Walau pun begitu anda
tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri anda. Sebab
itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses
temuduga. Mereka mahu melihat calun-calun secara terus bukan sekadar
untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk
melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang.
Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat
termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin dan
sebagainya.
Sekian.. bersambung ke Petua 4.