Persistensi
(persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap
sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan
sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk
dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia
gagal. Sedangkan kajian menunjukkan 95% daripada manusia, selepas
usia 55 tahun hanya hidup bergantung kepada duit pencen. Itu bagi
yang bekerja kerajaan. Jauh sekali mereka ketika itu mencapai tahap
yang boleh dikatakan "financially independent". Begitu juga dengan
pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun hanya 13% - 14% pelajar yang
mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Bagi yang
kini berada di institusi pengajian tinggi pula, 80% daripada mereka
menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua atau ketiga.
Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang
terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada
sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa
hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris
kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When
the going gets tough, the tough get going", dan satu lagi,
"Quitters never win and winners never quit".
Kata-kata ini telah sekian lama saya sematkan dalam hati saya dan
dijadikan azimat bagi meraih kekuatan setiap kali berhadapan dengan
cabaran atau ketika berada diambang kegagalan. Dengan sikap
persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya faktor
masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu.
Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam
mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga terbentuknya
sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak seperti
rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa
bergantung kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada Al-Quran.
Baginda memulakan syiarnya ketika berusia 40 tahun setelah menerima
wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa masyarakatnya beriman kepada
Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar dengan batu.
Pengikut-pengikutnya diseksa. Keluarga mereka didera dan dihina.
Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk
melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun dimekah dan 10 tahun
di Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi
sebeginilah yang perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan.
Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan
seorang manusia cukup luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi
tidak lari dari matlamat perjuangan, rela berkorban dan sanggup
melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa mesti berjuang 23 tahun
sedangkan Allah boleh sahaja memberikan kemenangan mudah kepada
rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan
perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih
dan tidak putus asa dari mengharap kemenangan dari Allah.
Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini.
Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu jualan
yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi.
Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa
kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan mereka merasa lebih gembira
kerana mereka cuma tinggal 9 orang lagi sebelum mendapat kejayaan.
Mereka terus berusaha dan kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak
pada cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka gagal
membuat jualan dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap tidak putus asa.
Sebab kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12 kejayaan mula
menjelma.
Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan
terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan
kali. Edison mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali.
Kolonel Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah
mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan
setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear mencuba hampir 10
tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon Siew,
walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi jutawan dan
memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana
persistensinya.
Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi adalah
senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat
putus asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi
mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka
yang putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soallah diri anda
sendiri, adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan
satu soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan kali?
Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba
beberapa kali dan akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda
bagaimana mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan mereka yang
telah berjaya?
Air
yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Parang yang
diasah secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan diri
manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh
gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu
satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah perancangan,
untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu milik anda kerana
kuasa persistensi yang ada dalam diri.
Sekian.