Motivasi Diri
Tanggapan Diri Positif (Bahagian 4)
Oleh: Dr.
Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D -
Laman MAP
Kita
tidak boleh mengubah sesuatu yang telah berlaku tetapi kita boleh
mengubah tanggapan dan cara fikir kita terhadap sesuatu itu.
Perubahan tanggapan perlu dibuat bagi meletakkan diri kita pada
situasi yang menguntungkan diri kita sendiri.
Kejayaan adalah
satu pilihan hidup. Ia bukan sekadar takdir dan jauh sekali
berdasarkan nasib semata-mata. Kebolehan seseorang mengharungi
cabaran hidup, menyelesaikan masalah, dan mengawal emosinya
banyakbergantung kepada tanggapan yang wujud dalam pemikirannya.
Sekiranya tanggapan itu positif maka baiklah natijahnya. Kalau
tanggapan itu negatif maka buruklah pula hasilnya.
Bagaimana
tanggapan ini terbentuk? Bolehkah ia diubah? Persoalan ini sering
memeningkan kepala mereka yang bukan ahlinya.
Tanggapan
terbentuk hasil daripada acuan ibu bapa sendiri. Pengalaman lampau,
peristiwa penting, pergaulan, bahan-bahan bacaan, media serta idola
juga membentuk tanggapan dalam diri kita. Apa yang kita percaya dan
yakin sebagai benar akan membentuk pegangan hidup kita dan seterusnya
menjadi sumber rujukan kita apabila berlakunya sesuatu peristiwa.
Kerap kali kita berkata, "orang itu tak boleh dipercayai", semata-mata
kerana kita mengenali seseorang sebelumnya, yang mirip atau seiras
dengan orang itu, yang pernah membohongi kita. Tanggapan sebegini
hanya merugikan kita dan memerangkap diri sendiri.
Tanggapan kita
terhadap kebolehan diri kita seringkali tersasar. Kita menilai diri
kita berdasarkan hanya tanggapan dan bukannya kebolehan diri sebenar
yang ada.
Tanggapan ini pula merujuk kepada peristiwa lampau dalam sejarah hidup
kita. Misalnya, kalau kita diminta memberikan pidato umum, kita
mungkin menolaknya dan memberikan seribu alasan semata-mata kerana
dulunya kita pernah ditertawakan kerana pidato yang tidak menjadi.
Sebaliknya, kalau kita tidak pernah langsung berpidato, kita merujuk
kepada pengalaman rakan yang ditertawakan dan menggambarkannya sebagai
diri kita sendiri.
Kenapa tidak
pelajari pengalaman mereka yang berjaya? Dapatkan idola dalam setiap
bidang yang mahu diceburi. Misalnya, berani macam Anwar Ibrahim,
bijak dan berwawasan macam Dr. Mahathir Mohamad, baik pekerti dan
takwa macam Nik Aziz. Dengan gabungan beberapa individu di atas
pastinya kita bakal menjadi orang yang jauh lebih baik. Dan
sebaik-baik idola itu ialah junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad
s.a.w.
Minda manusia
ibarat sebidang tanah. Apa yang disemai itulah yang dituai. Kalau
kita sentiasa terdedah dengan unsur-unsur yang baik, bergaul dengan
mereka yang berjaya, hidup dalam persekitaran yang membina. Pastinya
tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita mirip kepada kecemerlangan.
Jadi semailah padi agar yang dituai nanti padi. Jangan semai lalang
nanti yang tumbuh nanti juga lalang.
|