
Tentang Motivasi |
Motivasi Diri
SIKAP PENENTU KEJAYAAN (Bahagian 3)
Oleh: Dr.
Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D -
Laman MAP
Lebih
kurang 25 tahun yang lalu, iaitu 1974, masyarakat melayu telah gempar
dengan lahirnya seorang anak melayu yang telah mampu membaca akhbar
pada usia tiga tahun. Hampir kesemua media membuat liputan. Hari
ini, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang mengkagumkan. Dengan
adanya pelbagai kemudahan dan teknologi multimedia, ramai anak-anak
yang boleh membaca pada usia sebegini.
Tetapi pada 25 tahun yang lalu, diawal 70an pastilah kebolehan seperti
ini dikira sebagai menakjubkan. Hinggakan Prof. Diraja Ungku Aziz
membawa anak ini balik ke kampungnya untuk diberikan ujian IQ.
Pengarah Jins Shamsudin pula menjadikannya pelakun kecil. Begitulah
hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz ini. Melihat
kepada kebolehan dan kehebatan anak maka tidak hairanlah kalau hari
ini beliau menjadi doktor atau pensyarah muda. Tanggal 22 November
1997 masyarakat melayu sekali lagi digemparkan. Kali ini oleh
peristiwa seorang anak muda yang bekerja sebagai pembuat roti canai
telah didakwa kerana memiliki enam paket kecil ganja. Beliau telah
didakwa dibawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983).
Inilah orangnya yang menjadi tajuk perbualan 25 tahun yang silam.
Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah dibanggakan dulunya. Beliau jauh
sekali dari dikatakaan berjaya. Malah apa yang beliau lakukan hari
ini langsung tidak menggambarkan kebolehan sewaktu kecil beliau.
Rendahkah IQ lelaki ini? Tidak sama sekali. Tidak berkebolehankah
lelaki ini? Jauh sama sekali. Yang silapnya kerana ia tidak pernah
terdedah kepada ilmu kecemerlangan diri dan pembentukan sikap.
Pastinya lebih ramai lagi.
Saya yakin, kalau perkara seperti ini boleh berlaku kepada seorang
individu, ia juga telah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku
kepada ramai lagi manusia lain. Berapa ramai lagi agaknya yang
senasib beliau. Kita hanya mendengar cerita Mohd. Sohkeri.
Bagaimana pula dengan begitu ramai yang mungkin waktu kecilnya
cemerlang kini tidak mampu meneruskan kecemerlangan ini. Saya
sendiri telah menemui begitu ramai pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR,
atau 8A dalam PMR, akhirnya kecundang salam SPM. Mereka sekadar
berpuashati dengan Gred 2 atau Gred 3 sahaja. Ada yang lebih teruk
sehingga mendapat SAP.
Persoalannya adakah mereka yang gagal dalam kehidupan hari ini
selayaknya gagal? Atau mereka tidak tahu yang sebenarnya dalam diri
mereka ada sebutir permata yang tinggi nilainya dan belum digilap.
Inilah yang dikatakan sikap. Tidak ada ertinya IQ yang tinggi serta
kebolehan yang luarbiasa tetapi malas berusaha. Sentiasa tangguh
kerja, main-main dan ambil mudah. Mereka ini berpenyakit tetapi
tidak menyedarinya. Kalau AIDS dan JE boleh membunuh diri, penyakit
sikap ini pula boleh membunuh harapan dan masa depan.
Bagaimana sikap terbentuk?
Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan,
pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan
dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikir seseorang individu. Dua
orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindakbalas
secara berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa atau persekitaran.
Cara fikir merubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap
seseorang. Cara fikir sebenarnya sesuatu yang dipelajari dan ditiru.
Antara sumber-sumbernya ialah:
-
Orang sekeliling - Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola
-
Pengaruh media - TV, radio, internet
-
Bahan bacaan - novel, majalah, akhbar, buku-buku.
-
Persekitaran - Agama, bangsa, kebudayaan
-
Peristiwa silam - besar atau kecil
-
Pengalaman
Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek.
Kalau bapa jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga demikian.
Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa seperti bapa. Mungkin
anak yang lain pula cukup mengkagumi gurunya dan kebetulan pula guru
seorang yang penyabar.
Maka sikap panas baran bapa tidak ditiru oleh anak ini kerana dia
dapat menilai bahawa sikap itu tidak menguntungkan sesiapa. Dalam
keadaan ini, pengaruh guru lebih besar atas diri anak ini dalam
konteks tersebut. Jadi seorang anak membesar dengan meniru tingkah
laku orang lain. Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada
gabungan pelbagai sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak,
malas macam abang, pakaian macam artis, buang masa macam rakan-rakan
dan sebagainya. Begitu juga dengan sikap positifnya juga ditiru dari
orang lain. Berani macam ayah, bercakap benar macam emak, suka
mencuba macam abang, gigih macam artis pujaan dan hormat ibu bapa
macam rakan.
Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang dilihat dan
didengar ini, sama ada positif atau negatif, tanpa sekatan. Apabila
maklumat yang sama diterima berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak
mula terbentuk kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk
menerima pakai atau meniru cara orang lain ini. Keadaan ini berlaku
di bawah kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa yang
panjang sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi
kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap kali
tindakan kita diluar kawalan diri.
Bolehkah sikap diubah?
Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir serta merta.
Misalnya anda membonceng motisikal rakan. Rakan anda membawa
motisikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang seronok.
Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan anda mati ditempat kejadian.
Ketika itu juga anda berkemungkinan besar mula mengubah sikap anda
apabila membawa motosikal. Walau pun ia berlaku hanya sekali dalam
kehidupan, tetapi pengalam tersebut cukup menyakitkan dan menyedihkan.
Ia mengubah cara fikir anda serta merta. Sikap anda juga berubah
serta merta.
Sebenarnya
untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang panjang. Masa yang
panjang sebenarnya untuk kita mengumpul maklumat dan membina keyakinan
serta kepercayaan sememangnya perubahan diri itu sesuatu yang mesti
dilakukan. Setelah anda membuat keputusan, perubahan berlaku serta
merta. Masa yang panjang ini sebenarnya boleh disingkatkan dengan
syarat anda mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menyokong
kepercayaan anda untuk berubah itu sekarang. Anda perlu mendapatkan
maklumat dari orang yang boleh memberikannya kepada anda. Sekiranya
anda seorang pelajar, kursus
Motivasi Alihan Pelajar salah satu tempat yang terbaik untuk anda
mendapatkan maklumat ini.
Ramai yang tidak menyedari bahawa sikap ibarat pakaian yang boleh
dipilih untuk disarungkan kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian
begitu juga mudahnya mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan
kaedahnya.
Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang
negatif perlu digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya digantikan
dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih mudah dilakukan
sekiranya dibantu oleh seseorang yang pakar dalam bidangnya.
Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini membolehkan anda
menggunakan sepenuhnya potensi diri yang ada pada diri anda? Setiap
kali guru memberikan markah ujian, cuba tanyakan diri anda, adakah ini
yang terbaik boleh dilakukan oleh anda? Kalau tidak, apa yang
menghalang anda melakukan yang terbaik? Tiada yang menghalang kecuali
diri anda sendiri. Kalau anda tidak mengubah sikap dan cara fikir
anda sekarang, anda juga pastinya mencapai sesuatu yang serupa 5 - 10
tahun yang akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin lokasi anda,
rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya tetap sama.
Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan datang anda
bakal gagal pula dialam pekerjaan. Sebab itulah anda perlu berubah,
dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang! Allah s.w.t telah
berfirman yang mafhumnya, "tidak akan aku ubah nasib sesuatu kaum
itu sehinggalah mereka ubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri".
|