Motivasi Diri
Untuk Berjaya Perlu Ada Matlamat (Bahagian 2)
Oleh: Dr.
Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D -
Laman MAP
Dalam
artikel Bahagian 1 sebelum ini, saya telah membincangkan apa yang
dikatakan matlamat dan bagaimana untuk membentuknya. Kali ini mari
kita lihat pula kenapa matlamat itu perlu. Kajian di institusi
pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat dan ini
adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan tetapi
itulah hakikatnya.
Matlamat memudahkan perancangan.
Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun menetapkan apa
yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini pastinya
memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari, setiap
minggu dan setiap bulan.
Contoh:
Katakan anda mahu menghabiskan ulangkaji mata pelajaran Sains sebulan
sebelum tibanya peperiksaan PMR. Katakanlah, pelajaran Sains itu
mempunyai 24 tajuk dan anda kini mempunyai 6 bulan sahaja untuk
menghabiskannya (iaitu sehingga sebulan sebelum PMR). Ini bermakna
anda perlu menghabiskan 4 tajuk Sains setiap bulan, atau lebih kurang
1 tajuk setiap minggu. Sekiranya anda merancang untuk belajar Sains
sebanyak 4 kali seminggu, gunakan 3 sessi yang pertama untuk
menghabiskan satu-satu tajuk dan gunakan sessi ke-4 untuk mengimbas
semula tajuk tersebut dan menjawab soalan-soalan yang berkaitan
dengannya.
Matlamat meningkatkan komitmen diri.
Secara tidak langsung apabila anda punya matlamat maka anda merasakan
suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya. Sebab sekiranya anda
terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang telah dijadualkan
bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri. Mata pelajaran
Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya sekiranya
anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda sendiri.
Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai komitmen
yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.
Matlamat membantu anda membuat keputusan.
Dalam kehidupan seharian anda pasti menyedari betapa sukarnya untuk
mendisiplinkan diri mengikut jadual harian anda. Malah mereka yang
mampu mengikut jadual harian jumlahnya terlalu kecil, hanya sekitar 5%
sahaja. Yang lain, sama ada langsung tidak mempunyai jadual harian
atau ada jadual tetapi sekadar hiasan dinding dan tidak pernah diikuti.
Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialan sebab kita bukannya robot dan
bukannya mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut
masa-masa yang ditetapkan setiap hari. Malah saya sendiri tidak yakin
bahawa jadual adalah penyebab kejayaan seseorang.
Sebagai manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar
jangka, misalnya anda mahu belajar tetapi mak minta jaga adik, ayah
minta pergi kedai. Sebentar lagi ialah waktu untuk buat kerja sekolah
tapi di TV pula ada perlawanan akhir bola sepak. Semuanya ini antara
penyebab kenapa anda sukar mengikut jadual belajar anda. Tetapi
dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah
perancangan harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas
perancangan jangka panjang anda. Anda boleh tidak belajar mengikut
masa yang ditetapkan tetapi anda perlu ganti semula dan belajar pada
waktu yang lain. Yang penting belajar tetap belajar. Yang penting
setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa satu minggu seperti
perancangan asalnya. Be flexible!!
Matlamat membantu anda mendapatkan
pertolongan.
Apabila anda mempunyai matlamat anda mula mengatur perancangan.
Apabila anda bertindak melengkapkan perancangan, anda mula menyedari
dan mengenali kelemahan-kelemahan yang ada pada diri anda. Ini
memudahkan anda mendapatkan pertolongan. Anda mungkin perlu berjumpa
guru setelah mengetahui ada bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu
mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin bertemu
rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan yang
mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk
menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
Matlamat pengukur kejayaan.
Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan atau impian kosong.
Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar yang diimpikan esok
hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diraih setiap hari.
Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan yang setiap hari anda berjaya?
Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur kepada
kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang. Sekiranya anda telah
melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang maka
anda dikatakan sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari anda
mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna. Jadi
pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga ia
tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan
mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu
bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya.
|