HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE Promoting homeopathy Malaysia all over and virtually. |
|
SEPINTAS LALU PERKEMBANGAN ILMU PERUBATAN (Bah. 2) |
|
|
oleh: Prof. Dr. Burhanuddin Al Helmy, M.D.H, PhD. |
HOMEOPATI: TEORI DAN PRAKTIK
[Ini merupakan petikan ceramah Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi yang telah disampaikan di waktu mesyuarat agung pertama Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia pada tahun 1962. Ceramah ini berjudul "Sepintas Lalu Perkembangan Ilmu Perubatan". Tulisan ini dipaparkan dengan harapan agar kita semua dapat membuat tinjauan kembali sejarah perubatan homeopati dan lain-lain sistem perubatan sebagaimana yang dihasratkan oleh tokoh berjasa ini. - Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)]
Perkembangan ilmu perubatan adalah bermula dari semenjak berkembang tamadun sesuatu bangsa itu. Tamadun yang tertua ialah bangsa India, Cina, Mesir Tua, Babyloon, Syria, dan Arab Islam hingga kepada tamadun dunia barat dari kurun ke empat belas hingga ke hari ini.
Perkembangan perubatan Melayu adalah mengikut tamadun bangsa Melayu ia itu semenjak tamadun Empayar Seriwijaya Majapahit dan Melaka. Sebagaimana tamadun sesuatu bangsa itu ambil berambil dan pengaruh mempengaruhi, maka tamadun Melayu itu sendiri dipengaruhi apabila didatangi oleh tamadun Hindu, Buddha dan Islam dan akhirnya tamadun barat ke negeri ini.
Yang banyak sekali mempengaruhi dan pengambilan ilmu perubatan Melayu ialah daripada perubatan Hindu dan Buddha ia itu pengaruh agama Hindu dan Buddha yang dipeluk oleh bangsa Melayu. Bila bangsa Melayu memeluk ugama Islam maka pengaruh perubatan Islam itu menambah lagi ilmu perubatan Melayu yang telah sedia ada.
Kedatangan penjajah barat ke nusantara kita ini membawa perubahan yang terpaksa pula memakai perubatan barat, maka terbenamlah perubatan-perubatan yang lalu itu oleh pengaruh perubatan barat. Demikian juga halnya bangsa Asia yang lain seperti Cina dan India. Mesir pun terpengaruh dengan mengagungkan perubatan barat hingga ada yang merendahkan perubatan sendiri.
Dunia perubatan barat membanggakan bahawa bapa perubatan dunia ialah Hippocrates (S.M. 60 – 370) ia itu dukun bangsa Greek purbakala. Tetapi sebelum itu agama Hindu telah lama terdahulu di mana di antara rangkaian kitab ATHARVA VEDA itu adalah suatu kitab perubatan berkenaan dengan yang dinamakan AYURVEDA. Tegasnya Greek masih dalam gelap lagi, India telah terkarang kitab perubatan AYURVEDA. Kitab Veda itulah setua-tua kitab dalam dunia ini yang masih dapat dibaca sekarang.
Setelah AYURVEDA, datang pula zaman Samhita seperti AGNIVESA dan perakaman CHARAKA. Ini adalah edaran kedua zaman perkembangan perubatan. Peredaran perubatan ketiga dari kurun ketujuh masihi. VIKSHU ATREYA ialah mahaguru kepada JIKAKA dan menjadi dukun kepada Buddha sendiri dn kepada maharaja BIMBISARA iaitu kurun keenam sebelum Masihi. Universiti TAKSHASILA ialah sebuah Universiti Perubatan yang besar sekali dalam dunia seluruhanmya pada zaman itu. VIKSHU ATREYA ialah mahagurunya, pengarang kitab SUSRUTA ialah Mahaguru NAGARJUN, ilmu SALYATANTRA ialah menerangkan tentang surgery.
Dari kurun ketujuh hingga kurun ke 16 Masehi, edaran perubatan ketiga itu mulai dari MADHARA KARA hingga BHARAMISRA yang mengarang kitab BHABAPRAKASHA. Dalam majalah LANCET keluaran 12 Sept 1846 satu makalah yang ditulis oleh WISE berkenaan perubatan ini menerangkan India bukan sahaja maju dalam lapangan perubatan bahkan dalam lapangan ilmu yang lain seperti Hisab, Falak, Geometry telah lebih lama dan terdahulu daripada PTOLEMY, PHYTAGORAS, ARCHIMEDES, ARISTOTLE. Begitu juga dalam ilmu perubatan, India juga telah lebih dahulu. HESSLER dalam menterjemahkan kitab SUSRUTA SAMHITA mengatakan perubatan India telah maju 1,000 tahun sebelum Masihi.
Menurut dakwaan India, ilmu perubatan India menjalar ke negeri Arab lalu ke Mesir dan ke Yaman dan Greek.
Yayasan MANU kedapatan telah wujud kira-kira 1,400 tahun sebelum Masehi manakala Yayasan ini mengajarkan hal jenis-jenis perniagaan termasuklah perniagaan benda-benda perubatan.
Kejatuhan perubatan India itu ialah manakala negerinya diserang dan ditakluk oleh musuh sebagaimana tersebut dalam sejarah India. Maka turutlah pula merosot ilmt perubatannya.
Falsafah pelajaran ABQRAT (Hippocrates) ialah mengatakan semua penyakit ialah natijah daripada tidak betul perjalanan atau campuran air, lender-lendir dalam tubuh yang disebutkan dengan HIPPOCRATIC DOCTRINE OF HUMORAL PATHOLOGY. Perkembangan ilmu perubatan oleh Aristotle (384 – 320 sebelum Masehi) besar sekali kerana ia seorang dukun bangsa Greek yang masyhur dan mendapat asas ilmu sejarah tabii (Natural History). Aristotle murid Plato ialah guru kepada Iskandar Zulkarnain.
Pertambah rancak perkembangan ilmu perubatan itu apabila dating GALEN (200 – 130S.M.) mengemukakan pendapatnya dalam ilmu perubatan Greek itu di Eropah dengan naiknya kemenangan Iskandar Zulkarnain menaklukkan Eropah, Mesir dan India, lalu bersambung-sambung kepada kebangkitan perubatan Islam.
Sebenarnya perubatan telah hampir lenyap di Eropah, kemudian bersambutan pula dengan perubatan Arab seperti Harith Ibn Khaldah, dan tertubuhlah balik kemajuan perubatan itu dengan bangkitnya kerajaan Islam mengembangkan ilmu perubatan dan ilmu-ilmu yang lain yang sangat maju hingga membawa perubahan dan tamadun dunia baharu dalam semua lapangan hidup.
Bapa perubatan yang kedua ialah Ibnu Sina. Ia mengarang kitab Al-Kanun – Kitab al-Shifa’ dan berpuluh-puluh kitab lagi. Hampir 500 tahun kitab Al-Kanun dan Al-Syifa’ itu menjadi kitab pelajaran ilmu Perubatan yang ulung sekali di seluruh Universiti Eropah, dipelajari oleh pelajar-pelajar dan mahasiswa-mahasiswa perubatan. Setelah 400 tahun dipelajari dalam bahasa Arab asal naskhah-naskhah kitab itu, kemudian baru disalinkan ke bahasa Latin. Banyak ulama dan tabib Islam yang mengembangkan kembali dengan luas dan dengan majunya perubatan. Kemajuan Hisab, Science dan Chemistry dan perubatan Islam itulah yang menjadi asas tamadun hari ini.
Lebih daripada 700 tahun perubatan Islam masih lagi terpakai di hospital-hospital seluruh dunia hari ini, seolah-olahnya pendapat-pendapat itu pendapat mereka (Barat), pada hal ianya ambila daripada beberapa hukamak Islam. Sayangnya pendapat-pendapat hukama’ dan tabib Islam itu tidak disebutkan oleh orang-orang Barat.
Kemasyhuran Al-Razi (864 – 925) dalam ilmu perubatan, kitabnya telah diterjemahkan ke bahasa Latin, dan dipelajari di universiti-universiti Eropah pada abad pertengahan hingga sekarang ini seperti kitab Spiritual Physic. Tuan M. Meyerhof memuji Al-Razi. Katanya, tidak syak lagi bahawa Al-Razi seorang ulama di antara yang terbesar sekali dalam dunia Islam dan seorang besar perubatan di sepanjang zaman.
- bersambung.....
Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
drhatta3@yahoo.com
Sumber: Burhanuddin al-Helmy (Prof. Dr.). 1985. Sepintas Lalu Perkembangan Ilmu Perubatan, Majalah Perubatan Homeopathy. Jil. 1. Bil. 1. ms.: 26-31.
Virtual copyright © Mohamed Hatta Abu Bakar HMD (BIH)
2011
@ HBI Health & Homoeopathy Centre 2011